Pada 25 Januari 2018, Pusat Penyelidikan Mineral telah menerima rombongan pelawat dari Fukuoka City dan Majlis Bandaraya Ipoh. Fukuoka City, Jepun merupakan bandaraya berkembar kepada Bandaraya Ipoh, Perak.
Lawatan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, MBI dan Fukuoka City ke PPM telah membuka peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua bandaraya itu.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai produk-produk mineral serta batuan yang terdapat di sekitar Ipoh dan juga bagi melihat tempat-tempat yang menarik sebagai promosi kepada pelancong dari negara matahari terbit tersebut untuk melawat ke sini. Pihak Fukuoka City juga akan dapat mempromosikan produk dan tempat mereka kepada rakyat Malaysia, terutamanya kepada warga MBI untuk lawatan ke negara mereka.
Taklimat ringkas mengenai PPM dan aktiviti jabatan telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam PPM, En Aminudin Bin Mahmud. Rombongan juga dibawa melawat ke galeri PPM serta pameran terbuka di sini.
Ahli rombongan kemudiannya dibawa ke Muzium Geologi, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Melalui lawatan seperti ini, adalah diharapkan hubungan dua hala antara MBI dengan Fukuoka City akan bertambah erat pada masa akan datang. Selain dari itu juga, PPM akan dapat mempromosikan produk R&D mineral dan batuan ke peringkat antarabangsa.
http://blog.jmg.gov.my/pusat-penyelidikan-mineral/ppm-menerima-pelawat-dari-fukuoka-city-dan-majlis-bandaraya-ipoh#sigProId0444287559