Program Sambutan Hari Kebangsaan 2018

Program Sambutan Hari Kebangsaan 2018

Hari Kebangsaan disambut diseluruh negara pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak tahun 1511. Hari Kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran untuk memperingati detik bersejarah negara kita mencapai kemerdekaan. Pada 31 Ogos ini, negara kita akan menyambut ulangtahun hari kemerdekaan yang ke 61. Oleh itu, satu program Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah diadakan pada 28 Ogos 2018 yang lalu. Matlamat utama penganjuran program ini ialah untuk memupuk semangat cintakan tanah air serta menghargai dan mempertahankan kedaulatan negara ini. Program ini juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepada semua warga PPM tentang konsep dan rentetan sejarah kemerdekaan negara dan perjuangan pelbagai pihak yang berusaha meraih kemerdekaan. Selain daripada itu, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat bekerjasama dikalangan warga PPM melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Untuk menjadikan sambutan ini lebih menarik dan dapat dijiwai dengan sepenuhnya, pihak jawatankuasa juga telah menetapkan tema pemakaian pada hari tersebut ialah pakaian ala-ala tahun 50-an.

Sambutan ini dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu patriotik β€˜Tanggal 31’, bacaan Ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh En Aminudin bin Mahmud dan diakhiri dengan bacaan doa kesejahteraan negara Malaysia. Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan dan diikuti oleh Ucapan Perasmian oleh Pengarah PPM, Tn Hj Md Muzayin bin Alimon. Sebaik sahaja majlis perasmian berakhir, program diteruskan dengan aktiviti permainan berkumpulan. Antara aktiviti yang diadakan ialah permainan tradisional (sepak raga bulat, teng teng dan tuju tin guna selipar), mengupas kelapa dan ubi kayu, kukur kelapa dan permainan teka kata. Setiap warga PPM dibahagikan kepada lima kumpulan dan bertanding untuk mengumpul markah yang tertinggi. Setelah semua permainan berakhir, kumpulan yang mengumpul markah tertinggi ialah kumpulan Hijau (diketuai oleh En Aminudin bin Mahmud) dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Pihak jawatankuasa juga telah memilih Tn Hj Malek bin Selamat dan Cik Fatihah bt Azmi sebagai pemenang kategori pakaian yang paling menepati tema dan masing-masing membawa gelaran Jejaka Tampan Segak Bergaya dan Gadis Jelita Cantik Menawan.

Akhir kata, aktiviti seperti ini wajar diadakan pada setiap tahun agar jati diri setiap warga negara Malaysia khususnya warga PPM sentiasa terukir dalam jiwa dan diri masing-masing. Semangat kecintaan atau patriotisme kepada negara ini juga dapat disemai dan ditingkatkan pada setiap warga PPM supaya dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam mewujudkan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang.

 

Written by : ezulia