Meru, Ipoh – 30 Oktober 2019. Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menganjurkan Simposium Mineral ke-9 (SIMPOMIN 2019) pada 29 hingga 30 Oktober 2019 yang bertempat di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Majlis perasmian acara tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JMG, Datuk Hj Shahar Effendi bin Abdullah Azizi.
Objektif penganjuran SIMPOMIN 2019 ini adalah untuk menyediakan platform kepada penyelidik, ahli akademik, teknokrat dan pemain perindustrian untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam meningkatkan nilai mineral Malaysia melalui R&D&C&I, membincangkan penemuan dan idea penyelidikan, dan menyebarkan perkembangan terkini yang berkaitan dengan mineral R&D&C&I serta mempromosikan rangkaian disiplin antara pihak yang berminat dan profesional kepada teknologi mineral.
SIMPOMIN 2019 juga diadakan sebagai platform bagi peserta untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka, pandangan pertukaran, pengetahuan dan pengalaman mengenai teknologi, inovasi dan pengkomersialan yang berkaitan dengan industri mineral. Dalam acara ini, sebanyak 40 kertas kerja telah dibentangkan secara lisan dan poster oleh para penyelidik dari PPM, JMG dan juga dari pelbagai institusi pendidikan tinggi, sektor swasta dan pihak industri berkaitan dengan penemuan penyelidikan mereka mengenai R&D&C&I mineral.
PPM berharap acara pada kali ini dapat membantu para penyelidik dalam memajukan penyelidikan mineral di PPM serta memberi pendedahan dan kesedaran kepada pihak luar mengenai penemuan penyelidikan yang berpotensi dikomersialkan dari PPM secara khasnya dan diharapkan ia dapat memberi impak positif terhadap pembangunan teknologi dan ekonomi industri mineral di Malaysia secara amnya.
http://blog.jmg.gov.my/pusat-penyelidikan-mineral/simpomin-2019#sigProId9c2f80d78b