PPM, 3 Julai 2013 - PPM telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taiping. Tujuan lawatan ini adalah untuk mempelajari teknologi-teknologi yang terdapat di Jabatan Bahan Termaju yang terdiri daripada bidang komposit, seramik dan polimer. Seramai 15 orang kakitangan PPM telah mengikuti lawatan ini dan telah dibawa melawat ke makmal-makmal yang terdapat di Jabatan ini.
Latihan Industri Pelajar IPT di PPM
PPM telah menerima kehadiran 6 orang pelajar dari IPTA iaitu 3 orang dari UiTM, seorang dari UMT, seorang dari UTeM dan seorang dari UTHOM yang akan menjalani Latihan Industri mereka di antara 2 ke 3 bulan. Pelajar-pelajar ini akan diberi pendedahan mengenai bidang tugas dan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan di PPM. Ini adalah komitmen yang dibuat oleh PPM untuk bersama-sama dengan KPT memikul tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan sumber manusia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkompeten tinggi, malah berinovasi serta kreatif yang dapat memenuhi kehendak majikan dan industri. Golongan pelajar yang telah diberi pendedahan akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing yang mampu melonjakkan sesebuah negara ke tahap yang lebih tinggi sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Model Ekonomi Baru.
Warga Baru PPM
PPM mengambil kesempatan ini, untuk mengalu-alukan kedatangan beberapa kakitangan baru yang akan berkhidmat didalam pelbagai seksyen di PPM. Sesungguhnya, kedatangan kakitangan-kakitangan baru ini akan banyak membantu PPM di tengah-tengah kesibukan menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikannya. Selamat Datang dan Selamat Berkhidmat kepada Warga baru PPM.
Bengkel Kesedaran, Pemahaman Dan Pelaksanaan ISO 9001:2008
PPM, 5 Jun – 7 Jun 2013. PPM telah menganjurkan bengkel kesedaran, Pemahaman dan Pelaksanaan ISO 9001:2008 bertempat di Taiping Golf Resort, Bukit Jana Taiping. Objektif bengkel ini adalah untuk memahami konsep kualiti dan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), memahami keperluan ISO 9001:2008, membantu merancang dan melaksanakan ISO 9001:2008 dan juga membuat persediaan untuk pensijilan ISO 9001:2008.
Pasukan kompang Kelab Sukan dan Kebajikan, Pusat Penyelidikan Mineral Ipoh
Pasukan kompang Kelab Sukan dan Kebajikan, Pusat Penyelidikan Mineral Ipoh telah ditubuhkan beberapa tahun yang lalu. Keahliannya terdiri dari 17 orang ahli. Pasukan Kompang KSK PPM adalah di antara pasukan kompang yang paling aktif dan menawarkan khidmat yang terbaik di sekitar Ipoh. Berbagai-bagai jemputan dan aktiviti-aktiviti pesat yang telah kami hadiri dan giat dijalankan seperti jemputan perkahwinan, perasmian majlis-majlis rasmi, majlis sambutan orang kenamaan, majlis berkhatan dan sebagainya.