PPM, 8 Julai 2013 – PPM telah menganjurkan satu sesi Latihan Persampelan Pasir di Stesen Ujian Galian (SUGA). Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai, kakitangan-kakitangan dan juga pelajar-pelajar Latihan Industri telah hadir ke sesi latihan tersebut. Latihan persampelan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan bagaimana kaedah pengambilan sampel pasir dilakukan semasa di lapangan. Peserta didedahkan kepada peralatan-peralatan yang digunakan semasa pengambilan sampel dan juga demo kaedah penggunaan Bangka Tangan, Hand Auger dan juga mendulang.
Latihan Pengendalian Dan Penyelenggaraan Relau
PPM, 2 Julai 3 – Seksyen Silika PPM telah menjemput seorang pakar iaitu En. Mohd Fazel bin Ahmad dari MK Four Workspoint, yang berpengalaman dalam kerja-kerja penyelengaraan relau untuk berkongsi ilmu bersama-sama pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan JMG bagi memberi pendedahan terutamanya kepada kakitangan yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan relau.
Latihan Teknikal Ke Adtec, Taiping
PPM, 3 Julai 2013 - PPM telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taiping. Tujuan lawatan ini adalah untuk mempelajari teknologi-teknologi yang terdapat di Jabatan Bahan Termaju yang terdiri daripada bidang komposit, seramik dan polimer. Seramai 15 orang kakitangan PPM telah mengikuti lawatan ini dan telah dibawa melawat ke makmal-makmal yang terdapat di Jabatan ini.
Latihan Industri Pelajar IPT di PPM
PPM telah menerima kehadiran 6 orang pelajar dari IPTA iaitu 3 orang dari UiTM, seorang dari UMT, seorang dari UTeM dan seorang dari UTHOM yang akan menjalani Latihan Industri mereka di antara 2 ke 3 bulan. Pelajar-pelajar ini akan diberi pendedahan mengenai bidang tugas dan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan di PPM. Ini adalah komitmen yang dibuat oleh PPM untuk bersama-sama dengan KPT memikul tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan sumber manusia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkompeten tinggi, malah berinovasi serta kreatif yang dapat memenuhi kehendak majikan dan industri. Golongan pelajar yang telah diberi pendedahan akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing yang mampu melonjakkan sesebuah negara ke tahap yang lebih tinggi sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Model Ekonomi Baru.
Warga Baru PPM
PPM mengambil kesempatan ini, untuk mengalu-alukan kedatangan beberapa kakitangan baru yang akan berkhidmat didalam pelbagai seksyen di PPM. Sesungguhnya, kedatangan kakitangan-kakitangan baru ini akan banyak membantu PPM di tengah-tengah kesibukan menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikannya. Selamat Datang dan Selamat Berkhidmat kepada Warga baru PPM.