PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK DAN BUBUR KACANG SEMPENA RAMADHAN 1440H

PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK DAN BUBUR KACANG SEMPENA RAMADHAN 1440H

23hb Mei 2019 (Khamis) – Sempena Ramadhan 1440H/ 2019, Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR) JMG Perak telah menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk dan Bubur Kacang peringkat JMG Perak. Program ini dilaksanakan di perkarangan Dewan Granite. Hampir semua warga kerja JMG Perak bergotong-royong dalam menyediakan juadah ini. Program bermula seawal 8.00 pagi dan selesai pada jam 1.00 petang.

Baca selanjutnya

Majlis Berbuka Puasa dan Perhimpunan Bulanan JMG Pahang 2019

Pada 27 Mei 2019, bersamaan 22 Ramadhan 1440H, JMG Pahang telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa 2019bersekali dengan Perhimpunan Bulanan JMG Pahang bagi bulan Mei. Majlis Berbuka Puasa ini merupakan program tahunan JMG Pahang dan dianjurkan oleh Biro Sosial, Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang yang mendapat kerjasama penuh keseluruhan kakitangan JMG Pahang.

Baca selanjutnya

Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah, Ayahanda Sultan Pahang

Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah, Ayahanda Sultan Pahang

jata pahang

SAS1a

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah kembali ke Rahmatullah. Almarhum Paduka Ayahanda mangkat pada usia 88 tahun, kira-kira pukul 8.50 pagi Rabu 22 Mei 2019, bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah yang bertepatan dengan hari kebesaran Islam Nuzul al-Quran.

Berita kemangkatan Paduka Ayahanda ini telah disahkan oleh oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di halaman rasmi Facebooknya pada pagi Rabu. Datuk Seri Wan Rosdy berkata, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Wan Rosdy

"Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah."

"Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.

Datuk Seri Wan Rosdy di dalam petikan kenyataan facebooknya turut memohon semua sekalian rakyat jelata agar sama-sama mendoakan roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syuhada’.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin bin Ishak pada sidang media rasmi di Wisma Seri Pahang di Kuantan, Pahang memaklumkan jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah telah dibawa ke Istana Negara dari IJN bagi urusan lanjut sebelum dibawa pulang ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang untuk istiadat pemakaman di Makam Diraja Pekan, Pahang.

ss

"Istiadat pemakaman akan diadakan selepas Zohor, esok (Khamis)," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri mengiystiharkan hari berkabung di seluruh negeri Pahang selama 40 hari bermula pada Rabu.

"Kerajaan Pahang mengumumkan esok (Khamis) sebagai cuti umum bagi negeri Pahang dan tempoh berkabung selama 40 hari bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah," katanya.

Datuk Seri Sallehuddin turut memaklumkan kaum Kerabat Diraja Pahang akan melaksanakan perkabungan selama 100 hari atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

SAS1

Diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan pada 24 Oktober 1930, Sultan Haji Ahmad Shah merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.

SAS baby

Pada tahun 1944, baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada usia muda ketika berusia 14 tahun.

Sultan Haji Ahmad Shah selanjutnya dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar. Istiadat pertabalan baginda berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.

SAS2

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan telah dikurniakan tujuh cahayamata hasil perkahwinan baginda dengan Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988, iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah.

keluarga

Almarhum kemudiannya dipertemukan jodoh dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang cahayamata Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'adzam.

sultanpahangsultanah

Merupakan seorang raja berjiwa rakyat yang amat disenangi dan disayangi sekalian rakyat jelata di Negeri Pahang, baginda Sultan Haji Ahmad Shah sentiasa prihatin dan dekat dengan hal ehwal serta kebajikan rakyat. Mengamalkan prinsip Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, baginda sering menjadi insan yang terawal tiba sekiranya sebarang kemaslahatan berlaku pada rakyat jelata baginda, seperti bencana tanah runtuh, banjir, kebakaran, kemalangan dan sebagainya.  Baginda Paduka Ayahanda Sultan Pahang kemudiannya menyerahkan tampuk pemerintahan dan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri Pahang selama hampir 45 tahun.

Bencana di Cameron Highlands 12

Tengku Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019, ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang berada dalam keadaan gering dan telah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

sultan abdullah

Istiadat pemakaman Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah berlangsung di Makam Diraja di Pekan, Pahang. Baginda telah selamat dimakamkan bersebelahan makam isteri baginda, Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. 

SAS keranda

agong kubur

makam

Warga JMG Pahang khususnya dengan penuh kesedihan dan kesayuan merafak sembah takziah dukacita kepada KDYMM Sultan Pahang, Kerabat Diraja Pahang dan seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu'adzam Shah

Al Fatihah

surat al fatihah part 9

"...RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA..."

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. AMIN