Pada 1 November 2017, Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta dan Kapal Korek Tanjung Tualang. Lawatan ini telah dianjurkan oleh PPM dengan kerjasama Unit Latihan, Cawangan Pelaksana Pengkormesialan (CPP). Seramai 25 orang pegawai dan pembantu penyelidik telah menyertai lawatan ini. Lawatan kerja ini diketuai oleh En Aminudin bin Mahmud, Pegawai Latihan, PPM.
Destinasi lawatan yang pertama adalah ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta di Kampar, Perak. Muzium ini memfokuskan kaedah melombong bijih timah secara pam kelikir. Pengunjung didedahkan dengan panorama perlombongan bijih timah dilengkapi dengan palong untuk memberi pemahaman mengenai kerja-kerja perlombongan. Foto-foto dan statistik perubahan harga timah dunia menunjukkan trend perindustrian bijih timah di Malaysia yang pernah menjadi pengeksport terbesar bijih timah pada masa dahulu. Selain itu, muzium ini juga dipenuhi dengan dokumen dan persuratan mengenai perjanjian perlombongan bijih timah dan perjanjian perdamaian dahulu.