Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 29 Ogos 2019. Pada 31 Ogos setiap tahun, negara kita akan menyambut ulangtahun hari kemerdekaannya. Pada tahun 2019, sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-62, Jawatankuasa Sambutan Kemerdekaan di Pusat Penyelidikan Mineral telah menganjurkan beberapa aktiviti yang menarik seperti pertandingan mewarna, pertandingan gambar #wefie bertemakan “Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih”, tayangan filem pendek, deklamasi sajak/puisi kemerdekaan dan kuiz minda merdeka.
Tahniah Atas Pelantikan Sebagai Pengarah Kanan Baharu PPM
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 31 Julai 2019. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Encik Aminudin bin Mahmud atas pelantikan sebagai Pengarah Kanan PPM baharu yang berkuatkuasa bermula pada 20 Jun 2019 yang lalu. Beliau sebelum ini telah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah PPM ketika berkhidmat bersama-sama dengan Pengarah PPM pada masa itu, iaitu Encik Muzayin bin Alimon.
Selain itu, Encik Aminudin bin Mahmud juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP) yang sekarang ini telah diterajui secara rasmi oleh Dr. Nazwin binti Ahmad, iaitu bekas Pengarah Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM).
Seluruh warga PPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Pengarah Kanan Baharu PPM. Semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan lebih berdedikasi serta cemerlang demi pembangunan dan kemajuan jabatan pada masa akan datang.
Seminar Beckman Coulter Particle Size Analyzer
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 19 Julai 2019. Satu seminar berkaitan Beckman Coulter Particle Size Analyzer anjuran Unit Latihan PPM bersama Syarikat Straits Scientific Sdn Bhd telah diadakan di Dewan Seminar PPM pada 18 Julai yang lalu. Seminar ini bertujuan untuk mengetahui tentang teori “Beckman Coulter Laser Diffraction Particle Size Analysis” serta kaedah untuk memilih peralatan yang baik bagi memperolehi data dengan lebih tepat.
Selain itu, seminar tersebut telah dikendalikan oleh wakil daripada Syarikat Straits Scientific Sdn Bhd, iaitu Ms Wong Chor Wan. Sepanjang program itu berlangsung, para peserta telah diberikan penerangan tentang peralatan yang ditunjukkan serta cara untuk mengendalikan peralatan itu dengan betul. Mereka juga telah diberi peluang untuk belajar menganalisa dan mengumpul data sendiri daripada makmal masing-masing dengan menggunakan peralatan tersebut.
Syarahan Teknikal Projek Kolaborasi FRGS USM-PPM
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 18 Julai 2019. Unit Latihan PPM bersama Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral telah menganjurkan satu syarahan teknikal yang bertajuk “TiH2 Powder Production from Magnesiothermic Reduction of TiCl4 in Presence of H2 Atmosphere” pada 17 Julai 2019 yang lalu. Projek ini merupakan projek kolaborasi Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) antara USM-PPM.
Selain itu, penceramah bagi syarahan teknikal tersebut ialah Dr. Sheikh Abdul Rezan bin Sheikh Abdul Hamid. Beliau merupakan seorang pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga salah seorang penyelidik bagi projek kolaborasi FRGS ini.
Bengkel Penulisan Saintifik
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 26 Jun 2019. PPM telah mengadakan sebuah program Bengkel Penulisan Saintifik yang diadakan di Dewan Seminar PPM. Program tersebut melibatkan para pegawai penyelidik dari PPM, pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat JMG, JMG Selangor, serta Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT).
Selain itu, tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta terhadap cara penulisan saintifik dengan berkesan dan teratur untuk menghasilkan journal saintifik yang berkualiti tinggi. Penceramah bagi program tersebut ialah Dr. Raa Khimi yang merupakan seorang penyelidik dan juga pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM). Bengkel Penulisan Saintifik tersebut bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.
PPM Telah Berjaya Mengadakan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Loji Perintis Rawatan AMD di SUGA.
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 28 Jun 2019. Sekalung tahniah diucapkan kepada PPM kerana telah menjayakan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Loji Perintis Acid Mine Drainage (AMD) yang telah berlangsung di Stesen Ujian Galian (SUGA), Malim Nawar, Perak. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan PPM, iaitu En. Aminudin bin Mahmud.
Selain itu, loji perintis rawatan AMD ini dibina bagi tujuan menjalankan kajian berkaitan AMD. Apa yang menarik ialah reka bentuk loji perintis ini dihasilkan sendiri oleh pihak PPM. Di samping itu, sebuah syarikat iaitu Multiplan Works sdn.bhd. telah dipilih oleh PPM untuk membina loji rawatan tersebut.
Kemeriahan sambutan Hari Raya PPM 2019
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – Satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PPM telah diadakan pada 27 Jun 2019 yang bertempat di hadapan foyer PPM. Tema baju raya pada tahun ini ialah ‘pakaian tradisional’.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang sambutan itu berlangsung antaranya ialah pertandingan nyanyian lagu raya, persembahan istimewa daripada pegawai-pegawai baharu, persembahan khas oleh beberapa orang pegawai PPM, pertandingan pakaian tercantik, serta cabutan bertuah.
7 Pegawai Penyelidik Baru Melapor Diri di PPM
Seramai 7 orang kakitangan baharu yang telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik telah hadir melapor diri untuk bertugas di PPM pada 18 Jun 2019 yang lalu. Sehari sebelum itu, mereka telah melapor diri di Ibu Pejabat JMG dan telah membacakan ikrar di hadapan Datuk Ketua Pengarah JMG.
Mereka ini terdiri daripada 5 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Mereka ialah En. Muhammad Afiq Afandi bin Abdul Aziz, En. Muhammad Hazim bin Yaacob, Dr. Zulkhairi bin Zakaria, En. Costantine bin Joannes, En. Mohd Zaid bin Md. Sharif, Dr. Emee Marina binti Salleh dan Pn. Syarifah Aminah binti Ismail. Pada masa ini, mereka sedang menjalani sesi latihan orientasi di setiap cawangan di PPM. Ia bertujuan sebagai sesi suai kenal kepada mereka bagi mengetahui skop kerja dan penyelidikan R&D mineral yang dijalankan di sini dengan lebih lanjut. Sesi orientasi ini yang bermula pada 18 Jun 2019 akan berakhir pada 9 Julai 2019.
LAWATAN PPM KE LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA (LKTN)
Pada 21 Mei yang lepas, PPM telah menganjurkan lawatan ke Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara yang terletak di Kubang Kerian, Kelantan serta ladang dan industri penghasilan produk kenaf di kawasan berhampiran. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah PPM iaitu Encik Aminuddin Mahmud dan 11 orang pegawai. Wakil dari JMG Kelantan turut hadir bersama ketika sesi lawatan ini.
Sesi lawatan bermula dengan sedikit taklimat ringkas mengenai kenaf dan produk yang dihasilkan berasaskan kenaf di ibu pejabat LKTN. Melalui perbincangan ini, PPM berhasrat untuk menjadikan tanaman kenaf sebagai bahan penyelidikan dalam pembuatan kertas dan juga ingin mengkaji kesesuaian tanaman tersebut dalam projek pemulihan lombong dan kuari.
Kerja-Kerja Pemasangan Alat Dust Deposit Gauge (DDG) Dan Alat Weather Station HOBO Di Sekitar Kuari Negeri Sembilan Dan Melaka
Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 02 Mei 2019 telah menjalankan satu projek Sustainable Deposit Index(SDI). Projek ini dijalankan bagi mengetahui kadar taburan habuk termendap di suatu-suatu kawasan yang berhampiran dengan kuari khususnya. Projek SDI ini telah diketuai oleh Dr. Izhar Abadi Bin Ibrahim Rais selaku ketua Cawangan Teknologi Perlombongan dan Pengkuarian(CTPP) di Pusat Penyelidikan Mineral, seorang pegawai dan 4 orang kakitangan daripada Cawangan Teknologi Perlombongan dan Pengkuarian.
Kerja-kerja pemasangan alat ini bermula dengan pemberitahuan awal oleh pihak Pusat Penyelidikan Mineral kepada pihak kuari dalam satu Program Seminar Kesedaran Kemampanan Industri Pengkuarian dan Perlombongan Negeri Sembilan/Melaka bertempat di Nilai Spring Resort Hotel pada 28 Februari 2019.